Apakah pengisiannya? Ilmu.
Tugas menghantar ilmu dalam karya persuratan serta kesenian seluruhnya mengakibatkan budayawan dan seniman Islami perlu sentiasa mendalami dan menuntut ilmu supaya karyanya tidak menjadi sia-sia dan sekadar hanya bercerita.
Seseorang seniman atau mungkin juga karyawan filem yang berhasrat untuk mencari ilmu hendaklah pertama-tamanya menjalani proses mensucikan jiwa; serta menanamkan rasa takwa (atau takut kepada Allah) dalam jiwanya. Untuk menuntut ilmu, seniman hendaklah membebaskan dirinya dari sebarang niat yang keji dan bermotifkan keduniaan. Hal ini memerlukan budayawan perlu sering melihat dan menilai diri samada ilmu yang diperolehinya adalah untuk tujuan keduniaan atau sebaliknya.
Taqwa ciri khusus seorang alim
Budayawan juga sentiasa mengingatkan dirinya sendiri bahawa taqwa tadi atau takut kepada Allah adalah satu ciri khusus seorang alim (orang yang mempunyai ilmu) dan sesiapa yang tidak mempunyai sebarang rasa takut kepada Allah dengan sendirinya berada di luar barisan orang yang mempunyai ilmu, meski berapa banyak sekalipun dia telah menghafal kitab atau betapa mengkagumkan pun ucapannya ketika berhujah.
Pedoman untuk setiap yang menuntut ilmu khususnya buat seniman karya persuratan ialah setiap jejak langkah mereka dalam menuntut ilmu itu hendaklah sentiasa merenung, memikir serta menghayati dengan mendalam apakah yang sebenarnya menjadi tujuan utama di sebalik ilmu yang dipelajari dan ditekuni.
Jika misalnya tujuan menuntut ilmu itu hanyalah untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, atau untuk bertanding dengan kawan atau kumpulan, atau jika memang bertujuan untuk meraih anugerah, ijazah dan kedudukan sosial maka tujuan ini adalah tujuan yang berasaskan duniawi.
Sekiranya ilmu yang dicari itu adalah dengan niat untuk menulis buku mahupun kertas kerja supaya dipuji sebagai seniman berilmu semata-mata tanpa ada langsung mengharapkan keredhaan Allah dan berbakti kepada makhluk-Nya maka budayawan tadi telah mensia-siakan tujuannya untuk menjadi seniman yang berilmu.
Ilmu yang benar ialah ilmu yang seharusnya memimpin manusia menjadi lebih bertakwa, ilmu itu juga akan mendorong si pemiliknya melakukan amalan dengan ikhlas selain menjadikan diri mencintai dan lebih takut kepada Allah dengan bertambahnya ilmu tersebut. Ilmu yang tidak menjadikan seseorang melakukan amalan yang baik bukanlah ilmu yang hak.
Seniman harus menyedari Ilmu yang terhad pada kuliah, syarahan, ceramah dan tidak menampung aplikasi praktikal untuk makhluk Allah adalah ilmu yang berada di tahap paling rendah dan pasti pudar dengan berlalunya detik masa.

0 comments to "Memasjidkan" Lapangan Seni Siri 1-Faisal Tehrani
Post a Comment