"Memasjidkan" Lapangan Seni Siri 2-Faisal Tehrani

Posted by LSKI_KI On Friday, March 21, 2008 0 comments

Budayawan perlu memerhati tingkah laku

Supaya budayawan kita berada di jalan yang benar ketika menuntut ilmu, mereka hendaklah sentiasa memerhatikan tingkah lakunya sendiri. Seniman misalnya, harus bertanya adakah ilmu yang diperolehi menjadikan diri lebih rendah hati dan lebih bersabar?

Atau adakah ilmu itu kelak menjadikannya lebih sombong, angkuh dan rajin berbalah? Adakah ilmu itu menjadikan diri lebih sulit menerima kebenaran dan mengakui kejahilan dalam kalangan manusia? Adakah pula menjadi manusia berilmu yang memesongkan diri serta menjadikan rasa cemburu dan nafsu emosi sebagai Tuhan.

Hari ini budayawan kita perlu difahamkan yang egoisme pada karya (katakanlah pengarah filem yang beria-ia mempertahankan kesesatan karyanya) bakal punah dan terhapus dengan ilmu yang hak. Dan petunjuk atau tanda yang terdapat dalam ilmu yang hak adalah; tidak terdapat sama sekali egoisme, keangkuhan, mencintai diri sendiri dan kesombongan.

Saat proses menelusuri jalan ilmu ini seniman hendaklah berserah kepada Ilahi, menghormati guru, tidak pula malu untuk mendapatkan ilmu daripada yang lebih muda. Seniman juga perlu bermuhasabah dengan apa yang telah pelajari. Doa kepada Allah dengan memohon rahmat-Nya, dan mengharapkan diilhami dengan idea-idea yang baik, supaya Tuhan melindungi diri dari menggunakan ilmu untuk mendapatkan kepentingan dunia dan bermotifkan diri sendiri sahaja.

Budayawan harus menyemat dalam benak mereka yang Imam Ali berpesan: "Seorang yang keluar untuk mendapatkan ilmu adalah seperti seorang yang berjuang di jalan Allah" [lihat Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, jilid 1, pada halaman 179.]

Budayawan harus juga memahami realiti ilmu yang mana Nabi Muhammad (saw) bersabda: "Ilmu tidak (diperolehi) melalui kuatnya belajar. Bahkan, itu adalah cahaya yang Tuhan pancarkan ke dalam hati sesiapa yang Dia hendak berikan petunjuk." [Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, jilid 67, ms 140]

Seniman Islam perlu kuasai ilmu

Budayawan atau seniman Islami tidak dapat tidak, perlu berusaha untuk menguasai semua cabang ilmu, tidak kira apa juga jenisnya. Ilmu dapat dibahagikan kepada dua kategori yang luas:

(1) Ilmu pengetahuan akhirat, yang bermatlamat untuk mencapai kedudukan tinggi di sisi Allah, berbakti kepada makhluk Allah, dan mendapatkan ganjaran di akhirat.

(2) Terdapat pula llmu pengetahuan dunia, yang bermatlamat untuk mengejar kebendaan, kekayaan, kedudukan sosial, dan kepuasan egoistik selain bertujuan untuk kepentingan diri. Dari itu, niat disebalik mendapatkan ilmu itulah yang menentukan tujuannya samada untuk keduniaan atau akhirat.

Budayawan atau lebih khusus seniman yang bakal berkarya harus mengingat bahawa ilmu yang hak akan memimpinnya melakukan amalan terpuji dan membawanya hampir ke hadrat Ilahi. Jiwa seniman yang dikuasai oleh kecintaan diri dan condong kepada maksiat akan menerima ilham berperibadi syaitan, akan hanya membuatnya bertambah jahil (seperti menjadi jahil terhadap kejahilan diri) dan terdapat pula penutup yang boleh sahaja membuatnya buta pada realiti tujuan penciptaan Ilahi, sifat-sifat Tuhan dan kehidupan akhirat.

Selain itu apa juga ilmu yang diperolehi akan membawanya ke matlamat dunia, mengukuhkan kepentingan diri, berkelakuan keji dan jika insan tersebut seorang seniman atau karyawan, hasil seninya juga akan diwarnai oleh unsur-unsur jelek tersebut hingga dia merosakkan pula orang lain.

Imam Ali (as) pernah berkata: "Wahai penuntut ilmu, ilmu mempunyai banyak kemuliaan. (Jika kamu bayangkannya sebagai manusia maka) kepalanya adalah rendah diri, matanya adalah bebas dari iri hati, telinganya adalah kefahaman, lidahnya adalah kebenaran, mindanya adalah penyelidikan, hatinya adalah niat yang baik, inteleknya adalah ilmu (ma�rifah) mengenai benda dan perkara, tangannya adalah belaian kasih sayang, kakinya adalah menziarahi yang berilmu, keazamannya adalah kejujuran, kebijaksanaannya adalah ketaqwaan, tempat tinggalnya adalah keselamatan, kemudinya adalah kesihatan, tunggangannya adalah ketaatan, senjatanya adalah kelembutan berbicara, pedangnya adalah berpuas hati (ridha), tunduknya adalah kesabaran, tenteranya adalah perbincangan dengan yang berilmu, hartanya adalah pekerti yang mulia, simpanannya adalah menahan diri dari maksiat, kelengkapannya untuk perjalanan adalah kesucian, air minumnya adalah lemah lembut, petunjuknya adalah petunjuk Ilahi, dan sahabatnya adalah mencintai yang terpilih." [Al-Kulayni, al-Kafi, kitab fadl al-�ilm, bab al-nawadir, hadith # 3]

Budayawan tentera juga perlu menyedari tujuan mencari ilmu itu harus benar-benar jelas, Imam Ali (as) berkata: "Jangan mencari ilmu untuk empat tujuan: (1) Mengagungkan diri di hadapan manusia berilmu (2) Berhujah dengan orang yang jahil (3) Mununjuk-nunjuk di dalam perhimpunan manusia (4) Menarik perhatian manusia untuk mendapatkan jawatan atau nama untuk berkuasa." [Al-Majlisi, Bihar al-Anwar, jilid 2, ms 31]

Memasjidkan semua lapangan seni

Seniman pada saya wajib memantapkan ilmu yang ada dalam dirinya kerana melibatkan diri dalam bidang penulisan atau perfileman, malah pementasan adalah suatu cabaran berilmu, menyampaikan ilmu dan pendek kata apa sahaja persoalannya ialah bergulat dengan ilmu.

Dalam keadaan masjid hari ini tidak lagi menarik minat generasi baru, kita harus memasjidkan filem, memasjidkan karya sastera, dan memasjidkan semua lapangan seni supaya anak muda yang memang menggilai hiburan-hiburan tadi terdidik dan menjadi generasi berilmu dari pembacaan karya kesusasteraan atau menjadi penonton yang pandai setelah menonton sesebuah filem.

Supaya mereka tidak pulang bengkak mata hanya kerana menangis emosi atau senak perut lucu tertawa dan kesan itu tidak melekat dalam diri kerana ia semata-mata meraikan nafsu paling rendah manusia.

Karya persuratan Melayu-Islam sejak lama dahulu telah menjadi pusat dan paksi ilmu malah menjadi sekolah buat orang-orang Melayu, selain menjadi benteng peribadi, akhlak dan akidah umat Melayu. Insya-Allah siri lain mengenai seni ini akan terus mengupas pelbagai persoalan melibatkan peribadi seniman, karyanya dan sikap khalayak juga.

0 comments to "Memasjidkan" Lapangan Seni Siri 2-Faisal Tehrani